09 January 2017

LHDN cadang senaraikan pengelak cukai tegar dalam CCRIS

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bercadang menyenaraikan individu yang gagal mematuhi pembayaran cukai dalam sistem rujukan maklumat kredit berpusat (CCRIS) mulai tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabin Samitah berkata langkah itu bagi meningkatkan kadar pematuhan cukai semasa dan membendung aktiviti pelarian cukai.

Ujar beliau, tindakan tegas itu akan diambil LHDNM khususnya ke atas golongan pengelak cukai tegar.

"Mereka ini sebenarnya telah diberi peluang untuk membayar cukai tertunggak secara ansuran walaupun setelah pelbagai kali peringatan diberikan, mereka masih gagal buat seperti yang telah dipersetujui antara mereka dan LHDNM.

"Jadi pada tahun hadapan, LHDN bercadang untuk menyenaraikan pembayar cukai tegar ini kepada CCRIS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran operasi khas bersepadu "Task Force 2 Bilion" (TF2B 2017) di ibu pejabat LHDNM, di sini, hari ini.

Ditanya pemberita sama ada langkah itu dilihat sebagai 'keterlaluan', ujarnya, LHDN terpaksa menggunakan pendekatan itu ekoran pembayar cukai telah diberi banyak peluang untuk melangsaikan cukai yang tertunggak.

"Ini tidak bermakna LHDNM menyusahkan mereka sebab sebelum kita senaraikan mereka ini, kita telah memberi mereka peluang untuk membayar secara ansuran."

"Tindakan ini adalah perlu untuk memberi keadilan kepada pembayar cukai yang lain yang patuh kepada peraturan bayaran yang telah kita berikan kepada semua pihak yang memerlukan pembayaran secara ansuran, sekiranya mereka mempunyai masalah kewangan," katanya.

Akibat daripada tersenarai dalam CCRIS, ia akan mempengaruhi penilaian oleh pihak bank berhubung pinjaman.
Ini bermakna mereka yang tersenarai akan menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman bank dan kad kredit.

Buat masa ini, mana-mana pembayar cukai yang gagal membayar tunggakan cukai mereka walaupun notis peringatan diberikan, akan dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara di bawah peruntukan Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.



-astro awani

05 January 2017

LHDN NASIHAT ARTIS ISYTIHAR DULU, BAYAR KEMUDIAN


Kegagalan sesetengah artis membuat pengisytiharan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyebabkan mereka berdepan masalah.
Ketua Pegawai Eksekutif Perhubungan Awam Media LHDN, Masrun Maslim berkata ia berlaku apabila artis terbabit keliru atau tidak memahami prosedur sebenar ketika berurusan dengan agensi itu.
“Perkara pertama perlu diutamakan adalah mengisytiharkan berapa saja jumlah pendapatan yang mereka peroleh walaupun pendapatan itu tidak tetap misalnya hanya dapat tawaran tiga bulan berlakon untuk setahun.
“Bayaran adalah perkara kedua kerana hanya selepas membuat pengisytiharan baru tahu berapa banyak jumlah yang perlu dikenakan cukai.
“Sikap tidak ambil peduli memang ada dalam kalangan selebriti, mereka sama ada faham atau buat-buat tidak faham,” katanya kepada Malaysiakini.
Akhbar Harian Metro baru-baru ini melaporkan ramai artis tanah air berstatus jutawan enggan membayar cukai pendapatan malah tidak pernah menghantar borang berkaitan ke LHDN.
Akhbar itu turut melaporkan kenyataan Timbalan Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN Datuk Mohd Nizom Sairi bahawa pihaknya mempunyai sumber rujukan kukuh mengesan golongan artis yang culas mengisytihar harta.
Katanya, agensi itu sentiasa memantau perkembangan pendapatan artis walaupun golongan terbabit berdiam diri untuk mengelak daripada membayar cukai.
Susulan itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Abdul Jamil dilapor berkata tidak semua artis hidup mewah dan layak membayar cukai.
Rozaidi atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi menyatakan hanya 10 peratus artis berjaya mencipta nama dan meraih pendapatan tinggi dalam industri seni.
Jangan khuatir
Mengulas lanjut, Masrun meminta penggiat seni tanahair yang tidak mempunyai pendapatan tetap supaya tidak merasa khuatir kerana taksiran cukai dikenakan tidak sama dengan pekerja yang digaji secara bulanan.
Katanya, bayaran seseorang artis yang diterima melalui perjanjian atau kontrak - sama ada penaja, syarikat rakaman atau penerbitan - dianggap sebagai pendapatan komersial atau perniagaan.
“Ia mesti diisytiharkan melalui borang B yang mesti dihantar selewat-lewatnya pada 30 Jun setiap tahun kepada LHDN dan mengisytiharkan semua pendapatan serta perbelanjaan yang layak dituntut.
“Jika mendapat dua atau tiga tawaran yang membolehkan mereka menerima jumlah pendapatan sebanyak RM50,000 sekaligus misalnya, kita (LHDN) tidak mengenakan cukai ke atas jumlah sebanyak itu.
“Kita memahami ada perbelanjaan perlu dilibatkan bagi mendapatkan RM50,000 itu seperti membayar pengurus, tol, petrol, tambang ke lokasi dan publisiti untuk mendapatkan tawaran itu,” katanya.
50 peratus tak bayar cukai
Masrun berkata, LHDN pernah membuat analisis dan mendapati sebanyak 50 peratus daripada artis tidak membayar cukai.
Bagaimanapun katanya, jumlah itu hanya diambil secara rawak kerana tidak dapat memastikan jumlah sebenar artis dalam industri.
“Sebab kita tidak tahu berapa ramai artis di Malaysia, ada juga yang baru di pasaran, jadi kami tiada angka sebenar dan lakukan sampel.
“Dalam 100 selebriti yang kita kaji, terbukti 50 peratus dalam kalangan mereka tidak menghantar borang.
“Dari situ kita mendapati kalau tidak hantar bermakna tidak bayarlah,” katanya.
Sementara itu, mengenai pelepasan cukai untuk skop aktiviti komersial yang memerlukan mereka tampil menarik ketika melakukan persembahan, Masrun berkata, ia adalah dibenarkan seperti bayaran kepada jurusolek, pengurus dan sewa pakaian.
Namun diingatkan bahawa, LHDN hanya membenarkan semua perbelanjaan semata-mata dikeluarkan dalam melaksanakan perkhidmatan hiburan.
“Sebarang perbelanjaan yang bersangkut-paut dengan kegunaan peribadi selebriti tidak layak diberikan potongan dalam pengiraan cukai pendapatan mereka.
“Bermaksud, kos pembelian alat solek dan membuat rawatan kecantikan tidak dibenarkan potongan dalam kiraan cukai pendapatan kerana bersifat penggunaan peribadi,” katanya.
MALAYSIAKINI, 5 JANUARI 2017


08 December 2016

SKM terus rangsang penglibatan koperasi



KUALA LUMPUR 2 Dis. – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terus merangsang penglibatan koperasi-koperasi di lima bidang aktiviti sektor utama dan kisah-kisah kejayaan koperasi tidak terhad kepada sektor perkhidmatan kewangan.

Menurut SKM, antara koperasi yang terus melakar kejayaan termasuklah Koperasi Orang Melayu Kerajaan Perak Bhd. (SKOMK) yang merupakan koperasi berdaftar sejak 13 Oktober 1924 dengan keanggotaan seramai 5,567 orang.

Koperasi tersebut yang memiliki saham dan yuran anggota sebanyak RM30 juta turut memiliki aset bernilai RM54 juta dalam bentuk bangunan dan ladang.

SKOMK mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM12.6 juta tahun lalu dan menduduki tempat ke-61 dalam indeks 100 koperasi terbaik di Malaysia pada 2015.

“SKOMK turut memiliki pusat pengedaran dan cawangan dan telah dianugerahkan kedai harga patut dalam kategori pasar mini pada tahun ini.

“Rantaian nilai yang diwujudkan oleh koperasi tersebut telah memberikan kelebihan tawaran harga patut kepada barangan yang dijual di pasar mini mereka,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Koperasi Iskandar Malaysia Berhad (imCoop) didaftarkan pada 14 November 2014 merupakan koperasi menengah yang dianggotai oleh 98 buah koperasi seluruh Negeri Johor mempunyai seramai 65,000 anggota dan turut disokong sepenuhnya Kerajaan Ne­geri Johor dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).





Objektif utama penubuhan adalah bagi membangunkan perniagaan rangkaian kedai harga patut berasaskan model koperasi dengan menawarkan harga yang berpatutan kepada pengguna dan mencipta peluang perniagaan baharu kepada koperasi melalui rantaian nilai perniagaan yang berkesan serta pengurusan perniagaan yang komprehensif dan strategik.

ImCoop turut menyasarkan untuk membuka 150 kedai harga patut muafakat di Johor menjelang 2018 berbanding sembilan buah cawangan sedia ada ketika ini.

“Usaha ini mencerminkan peranan koperasi selain terlibat dalam bidang perniagaan pemborongan peruncitan tetapi juga terlibat sebagai ejen dalam menangani isu kos sara hidup dengan menawarkan harga barangan berpatutan di cawangan-cawangannya,” ujar SKM.

Selain koperasi yang menjalankan aktiviti perniagaan, terdapat juga koperasi yang melaksanakan aktiviti pertanian seperti Koperasi Peserta-peserta Felcra Kawasan Hulu Berang Hulu Terengganu Bhd.

Koperasi tersebut telah membangunkan stesen mi­nyak mini pada tahun 2011 setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kos pembinaan berjumlah RM622,000.

“Sehingga Disember 2015 hasil jualan stesen minyak berjumlah RM3.64 juta yang telah memberikan peningkatan tinggi kepada perolehan koperasi,” jelasnya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/bisnes/usahawan/skm-terus-rangsang-penglibatan-koperasi-1.415581
 

25 November 2016

Kutipan GST RM32.71b sehingga 31 Oktober




KUALA LUMPUR: Hasil kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sehingga 31 Oktober tahun ini adalah RM32.71 bilion, manakala RM27.01 bilion kutipan direkodkan untuk tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Oktober 2015. Menurut Kementerian Kewangan, semua hasil cukai itu dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan bersama-sama dengan cukai langsung dan cukai tidak langsung yang dikutip Kerajaan Persekutuan.


 "Seterusnya, kutipan cukai GST dikembalikan sebagai agihan peruntukan bagi tujuan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat, termasuk menambah baik sektor pendidikan, kesihatan, kemudahan infrastruktur serta keperluan pembangunan dan kemajuan ekonomi negara," katanya dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini. Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar) mengenai jumlah GST yang dikutip sejak dilaksanakan serta jumlah kutipan yang digunakan untuk meringankan beban rakyat. GST mula berkuat kuasa pada 1 April tahun lalu. - BERNAMA
                                                                   

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/215225





18 May 2016

PENIAGA DALAM TALIAN MUNGKIN KENA CUKAI TAHUN DEPAN


KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan sedang mengkaji kemungkinan untuk mengenakan cukai ke atas perniagaan dalam talian pada tahun depan, sejajar kepesatan perkembangan sektor berasaskan internet di negara ini.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata kementerian sudah mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melakukan kajian terperinci mengenai perkara itu.
Malah, katanya, pihak LHDN sudah menubuhkan Bahagian Perniagaan dan Perdagangan Dalam Talian, turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tujuan itu.

"Kita perlu mengenakan cukai terhadap mereka yang memperoleh pendapatan boleh dicukai. Jika tidak, ia hanya menyebabkan kerugian kepada kerajaan yang kehilangan hasil ketika semakin banyak syarikat perniagaan beralih kepada ekonomi digital," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama di Forum Sektor Awam - Pembaharuan Kewangan Bagi Pembangunan Ekonomi Asia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Irwan berkata, pihaknya juga berhasrat memastikan syarikat perniagaan dalam talian untuk berdaftar dengan pihak SSM.
"Ini bagi membolehkan kita mengetahui jumlah pendapatan yang mereka peroleh," tegasnya.

Beliau berkata, kajian oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menunjukkan pendapatan pemandu teksi/kenderaan perkhidmatan Uber dan Grab boleh mencecah sehingga RM7,000 sebulan iaitu angka yang boleh dikenakan cukai.

Pendapatan bulanan boleh dicukai ketika ini adalah sekitar RM3,000 hingga RM4,000.

Terdahulu, ketika berucap, Mohd Irwan berkata, kerajaan kekal komited kepada inisiatif pengukuhan fiskal dalam usaha memantapkan kedudukan kewangan serta bagi mencapai sasaran bajet seimbang pada 2020.

Beliau turut menyuarakan rasa optimisnya bahawa hutang kerajaan dapat berada di paras kurang 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Kita berharap dapat merendahkan lagi paras itu kepada kurang 50 peratus menerusi langkah pengurangan pembaziran serta perbelanjaan secara berhemat, namun ini pastinya akan memakan masa," katanya.

Mengulas tindakan melindungi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan, beliau berkata kementerian kini bekerjasama untuk melaksanakan penggubalan akta Syarikat Milik Kerajaan dan GLC (SOGA).
Jelasnya, SOGA bertujuan memantapkan GLC dan memacu ekonomi domestik dan pada masa sama membolehkan syarikat berkenaan kekal berdaya saing baik di peringkat tempatan serta global. - BERNAMA


Sumber : Berita Harian Online
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...